Setiap kali melihat orang berbelanja dengan 'boros' setiap kali itu hati akan terdetik, beraninya mereka menanggung risiko ketirisan duit pada kemudian hari. Membeli itu ini dengan tujuan menunjuk-nunjuk adalah sangat sadis, tambah malang bila menunjuk-nunjuk depan orang yang sebenarnya lebih kaya daripadanya tanpa pengetahuannya. Malu. Tolonglah jangan buat macam tu.
Saya tidak sanggup berada dalam kesempitan duit. Lebih baik saya berdikit-dikit berbelanja dan berkira-kira ketika membeli dalam keadaan saya sebenarnya punya bepuluh ribu atau berjuta dalam simpanan. Itu lebih baik untuk saya daripada berjimat cermat kerana simpanan hampir mencapai angka zero. Itu sangat tragis.
Simpanlah duit untuk masa hadapan. Kalau pun bukan untuk kita, untuk orang-orang yang tersayang di samping kita. Walau pun orang kata buat apa simpan banyak-banyak akhirnya bila meninggal tak dapat guna jugak. Ya, sebenarnya kita menyimpan bukan untuk diri kita sahaja. Untuk orang-orang tersayang ketika kita tiada nanti. Anak dan pasangan kita. Bila kita tiada, atau tidak berkemampuan mencari rezeki harapnya insan-insan tersayang masih dapat meneruskan hidup dengan simpanan yang kita sudah lakukan. Tidak meminta-minta dan tidak mengharapkan belas ehsan orang lain. Mohon Allah jauhkan dari kesempitan hidup.
Bila perlu menyimpan? Masanya tidak terhad. Bila-bila saja kita mendapat duit atau wang, maka dari situ sepatutnya bermulanya amalan menyimpan walau pun sedikit. Ketika di sekolah rendah dan menengah dulu, tiap kali dapat duit belanja harian kita akan simpan sedikit walau pun sepuluh sen. Ketika masuk universiti, bagi yang mendapat pinjaman atau ditanggung mak ayah juga harus menyimpan. Jangan dihabiskan semuanya dalam satu sem seperti mana yang dilakukan ramai pelajar.
Pendek kata, setiap kali mendapat sejumlah wang, setiap kali itulah kita perlu menyimpan dan berjimat-cermat. Jangan berjimat ketika wang sudah hampir habis.
Bagaimana untuk berjimat? Iaitu dengan menyimpan. Bagaimana untuk menyimpan? Iaitu dengan berjimat. Saling berkaitan. Siapa yang berjimat, pasti dia seorang yang suka menyimpan. Siapa yang menyimpan, biasanya dia seorang yang berjimat cermat juga. Jarang jumpa orang yang ada salah satu daripada dua sifat tersebut, samada dia ada kedua-dua sifat tersebut atau memang takde langsung kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment
شكرا على تعليقاتك