5/3/2017: Check up dengan Dr.Widad di kliniknya dan maklumkan baby tak berapa aktif. Doktor sarankan ke hospital Aqso untuk buat CTG.
6/3/2017: Rasa gerakan baby aktif jadi tangguhkan ke hospital. Cuma dari subuh ada bleeding sampai maghrib. Rasa risau. Darah berlendir. Lepas Isyak ke hospital dengan suami. Di hospital misi buat CTG. Maklumkan ada lendiran darah keluar tapi misi kata perkara biasa dan tak buat sebarang check up berkaitan bleeding. Misi kata boleh masuk malam ni hospital dan induce (wiladah istinaieyah) sebab baby kurang aktif. Saya bincang dengan suami minta tangguh esoknya (selasa). Sign surat bertulisan tangan untuk menanggung apa-apa risiko sebab nak balik dan tangguh induce dan balik dengan tawakkalnya. Misi ingatkan untuk datang jam 8 pagi esoknya untuk induce dan melahirkan, rasa macam mimpi kalau betul esok peru bersalin paksa.
7/3/2017: jam 8.10 am sampai di hospital yang jaraknya 5 minit je dari rumah. Masuk qism wiladah tukar baju dan berbaring atas katil. Misi cucuk tangan dengan jarum dan masukkan air untuk membantu mengaktifkan baby. Blur sebab rasa betul ke akan beranak hari ni? Lepas sejam misi masukkan drip lain. Botol ubat induce katanya. Berdebar takut sakit. Pendek cerita dari jam 9.30 pagi lebih kurang hingga jam 7.30 malam saya berbaring atas katil dengan drip induce di tangan tanpa boleh makan dan minum. Penat dan bosan serta lapar. Suami tak dibenar tunggu lama. Lubna kami tinggalkan dengan kawan mujurlah. Sepanjang induce misi buang air kecil guna tiub yang dicucuk bawah tu dan tadah air kencing dalam sarung tangan getah. Ngilu. Habis air kencing tumpah atas katil bersama sedikit darah. Sabar. Sakit induce belum terasa. Jam 7.30 malam misi baru bertukar shift. Dilihatnya saya relax takde rasa sakit, dipercepatkan drip ubat induce. Dari pagi drip yang turun setitik setiap 5 saat, kali ini tiap saat setitik. Laju. Tiba-tiba ya Allah dah rasa seperti senggugut. Semakin lama semakin teruk rasa sakit. Dalam jam 8 malam lebih muncul k.yah dan fatihah rakan PhD di Jordan juga tanpa disangka. Sempat bertegur sapa. Hajat mereka mahu menemani tapi apakan daya saya dah terlampau sakit hanya sempat berborak sebentar. Saya genggam tangan k.yah tiap kali rasa sakit kontraksi datang. K.yah gosok belakang saya sambil ajar zikir-zikir. Rasa sedikit lega. Mujur ada yang menemani memandangkan suami tak dibenarkan bersama. Sempat saya kerling tihah yang cuak melihat saya menahan sakit teramat. Ya sangat dan amat sakit. Bila dah semakin sakit semakin tidak waras berfikir. Dalam hati rasa menyesal mengandung. Sedangkan dulu waktu bersalinkan lubna saya dah tekad tak mahu mengandung lagi sebab serik dan fobia dengan kesakitan. Cepat betul kita perempuan lupa. Sepanjang induce, berkali2 bahagian bawah saya diseluk misi untuk cek bukaan. Time belum sakit kontraksi saya ok lagi walau rasa malu dan sedikit sakit. Tapi bila diseluk saat sakit kontraksi ya Allah rasa seperti diseksa dan didera. Selukan jam 12 malam saya menjerit kesakitan dan menolak misi supaya berhenti dari menyeluk. Masih 3cm kata misi hampa. Saya apatah lagi terlebih hampa. Dengan sakit yang teramat bila doktor masuk dan cek bukaan lagi dan bukaan masih 3cm saya merayu minta qaisoriyy (czer). Teringat petang tadi doktor dah offer untuk czer tapi saya enggan memandangkan belum ada rasa sakit beranak. Malu pulak. Tapi doktor pun dah sebut kalau lepas jam 12 malam bukaan masih sedikit maka saya akan dibedah juga. Akhirnya qaddarallahu ma sya' saya ditolak ke dewan bedah dalam jam 12.30 mlm. Tunggu suami tersayang datang dari rumah dan sign persetujuan bedah serta menambah bayaran. Bila terdengar suara suami di luar bilik rawatan induce rasa lega dan rindu...
Saat diinduce...
8/3/2017: jam 12.30 am ditolak ke bilik bedah. Sakit kontraksi menjadikan saya tidak waras dan hilang rasa malu. Ketika di bilik bedah mulut saya tak lekang mengucap Allahuakbar. Sudah tidak segan dengan doktor lelaki yang ada. Sebelum dibius, sempat melihat doktor cucuk jarum di tangan kiri pula. Lepas tu terus tak sedarkan diri.
Akhirnya dalam jam 1.10 am amanah Allah ini selamat dilahirkan melalui pembedahan. Lebih kurang 40 minit proses pembedahan. Cepat juga ye. Bila tersedar, sy masih mamai dan tidak dapat menggerakkan badan langsung. Dapat rasa doktor sedang menjahit bahagian tepi kanan perut. Rasa perit tapi tak dapat buat apa-apa hanya menjerit dalam hati. Tiba-tiba rasa kerongkong bagai dijolok sesuatu. Rupanya proses menyedut kahak di kerongkong sedang dilakukan. Rasa lebih selesa bila kahak tiada tapi bila doktor tarik semula alat penyedut tu terasa sakit perit. Dalam mamai, kaki terasa seperti ditepuk-tepuk. Rupanya misi suruh beralih katil. Eh biar betul? Betul. Saya mengesot dalam sakit berpindah ke katil sebelah untuk ditolak ke wad pula. Dalam sakit menggagahkan diri jua. Sempat saya bertanya: wein baby? Lepas tu saya terus mamai sampailah ke bilik wad. Pindah ke katil lagi dengan sendirinya mengesot dalam sakit. Dari lepas bedah hingga jam 6.30am saya tidur kesan dari ubat bius. K.yah dan tihah setia menemani. Kasihan diorang dengan tido atas kerusi tak selesa. Suami pulang sekejap ke rumah. Lubna pun ketiduran di kerusi wad.
Pagi-pagi lagi misi minta saya berjalan. Ditawar bantuan untuk saya bangun dari katil dan berjalan dengannya. Saat bangkit dari katil ya Allah sakitnya perut. Tak mampu mengampu badan. Tak mampu bangun. Tak mampu menjejakkan kaki ke lantai. Bila sudah berjaya berdiri, tak mampu menggerakkan kaki. Rasa sakit bengkak teramat pada bahagia perut. Rasa seperti dirobek-robek perut. Paksa kaki melangkah walau sedikit, rasa seperti diseksa. Ini rupanya kesan czer. Rasa sedih.
Dalam jam 9am di wad bilik seorang bersama suami tercinta dan anak-anak kesayangan...
9/3/2017: sudah berada di rumah. Perut masih sakit bila perlu bangkit dari tidur ke kedudukan duduk dan berdiri. Rasa down. Seriau setiap kali mahu bangun ke tandas. Seriau bila perlu menyusu baby. Hanya dapat menyusu sambil terlentang. Kadang tewas dengan rasa sakit, minta suami bancuhkan susu tepung bekalan dari hospital untuk baby. Mujurlah baby kedua ni tak cerewet. Tidurnya panjang alhamdulillah. Tidak banyak meragam. Allah tarik satu nikmat, diganti nikmat yang lain. Terima kasih Allah.
Hari keempat selepas pembedahan badan mula beransur sihat, alhamdulillah. Rasa sakit pada perut mula beransur kurang. Yang pasti tangan gatal sama nam mengemas rumah. Rasa geram bila tak dapat tunduk mengutip barang-barang yang jatuh atas lantai. Geram melihat mainan lubna bersepah depan mata. Dalam hati tak berenti berdoa ya Allah aku ingin cepat sembuh dan sihat.
Hari ni dah masuk hari ke sembilan dalam pantang. Semakin sihat. Semalam ke hospital menanggal plaster. Alhamdulillah jahitan baik dan tidak ada sebarang jangkitan. Siap di hospital, kami menuju ke kedutaan untuk membuat sijil beranak Malaysia dan mendapatkan passport kecemasan untuk baby agar dapat pulang akhir bulan ini inshaAllah.
Saya perlu kuat, perlu cepat sembuh. Minggu depan perlu uruskan hal kereta pula. Hal di jamiah mengambil sijil senat. Mengemas beg dan rumah. Mengargo sedikit barang dan membeli-belah untuk kali terakhir di Jordan.
Semakin hari semakin baik. Cuma kalau terlebih gerak atau buat kerja saya akan mula rasa seram sejuk. Cepat-cepat minta suami panaskan tungku. Lega bila panas meresap ke dalam kulit. Cuaca pulak boleh tahan sejuk 14°c-18°c siang hari. Menambah lagi rasa dingin dan sejuk.
Bila dalam sakit seperti sekarang, suami banyak membantu menyiapkan keperluan saya. Menyediakan makan minum. Memakaikan stokin dan seluar kerana saya tak mampu menunduk. Menyiapkan baby. Tiap hari makin bertambah sayang pada suami. Semakin rasa takut kalau kehilangan abang. Rasa sedih bila terkenang pernah membuat abang tersinggung dengan kata-kata. Tiap kali melihat suami, saya akan berdoa agar Allah berkati umurnya, diluaskan rezekinya, dikurniakan kebahagian dunia dan akhirat. Awa cintakan abang kerana Allah. Maafkan segala kekhilafan awa.
Antara menu dalam pantang (pantang tengok makanan sedap) air tangan suami...
Cahaya mata kami yang kedua...
No comments:
Post a Comment
شكرا على تعليقاتك