Monday 23 May 2016

Orang ingat...

Orang ingat kita duduk luar negara kaya raya. Duit ribu riban. Bila sekali sekala balik Malaysia, orang sana harap kita belanja itu ini. Harap ole-ole sebarang dua. Apa ingat beli tiket kapal tebang pakai daun ke? Ke sana ke mari tabur duit nak boleh sampai ke Malaysia tu. Nak boleh pegi ke epot pun habis dulu ratus ringgit naik teksi. Sampai di Malaysia beli tiket balik pantai timur beratus-ratus lagi habis. Duit minyak keta ke sana ke mari, jangan dilupa duit makan hari-hari. 

Orang ingat duit elaun datang belajar sini banyak. Ye banyaklah banding elaun belajar dalam negara. Dan memang banyaklah dari elaun orang yang langsung tak dapat elaun (Orang macam ini pun ada duk sibuk ngulang bersyukurlah tu dapat duit elaun). Padahal kalau dia dapat jugak duit elaun yang kita dapat tu belum tentu cukup jugak bagi dia. Kalau dah jenis boros, duit ratus ribu pun belum tentu cukup.

Dan sebenarnya, duit elaun sebanyak RM2750 sebulan tu memang tak mencukupi apatah lagi sejak ekonomi kita jatuh. Duit sewa rumah saja sudah mencecah RM1500++. Letrik seratus dua. Mujur duit air free tuan rumah baik hati belanja. Duit belanja makan atau belanja dapur seminggu dah hampir empat ratus. Kalau sebulan dah RM1200. Itu pun dah ikat nafsu beli barang dapur yang sederhana kualiti dan harga. Walau pun duit gaji ada berbaki tapi komitmen di Malaysia perlu juga diambilkira terutama untuk kecemasan. Duit elaun suami dan anak RM800++ saja sebulan. Bila anak masuk sekolah sebulan saja hampir RM400 sudah habis. Lubna baru ni sebulan saje bersekolah tapi belanja menyekolahkan dia sudah mencecah RM550. Bayangkan kalau 12 bulan sekolah dan setiap bulan ada aktiviti berbayar?

Bukan saje mempunyai komitmen sebagai pelajar di sini tetapi komitmen membayar hutang di Malaysia. Kebanyakan pelajar PhD sambung belajar adalah pegawai kerajaan yang sudah membeli rumah, tanah, kereta dan punya komitmen bulanan setiap bulan. Wang untuk ibu bapa dan adik-beradik yang memerlukan. Sangat tidak adil bila berkata duit gaji dah dapat, elaun pun dapat lagi, itu pun tak cukup? Potong sana sinun berapa saje yang tinggal. Kalau gaji yang di Malaysia memang dah kecil dan banyak pulak berhutang (lain pensyarah lain kadar gaji mengikut jenis lantikan, tahun lantikan dan tahun bekerja) memang habis duit gaji tiap bulan. Berdasarkan pengalaman beberapa rakan di sini.

Orang kata kalau tak nak abis duit takyah balik Malaysia. Dah kedekut sangat dengan duit. Yang tak balik Malaysia tiap tahun pun tak cukup duit. Duit habis ke tempat lain pula. Pendek kata, kami tak kaya di sini. Adik-adik ijazah ada yang lebih mewah berbelanja berbanding kebanyakan pelajar postgrade yang datang dengan elaun dan gaji. Bila kita bekerja mendapat hasil dengan rasa perit kita akan rasa susahnya nak berbelanja semberono. Tak sama dengan orang yang dapat duit tanpa rasa susah payah, mudah saje berbelanja itu ini.

Dengan duit berbaki hasil ikat nafsu tulah dapat menyimpan dari wang gaji untuk pulang ke Malaysia. Tahun pertama balik kerana atuk kesayangan nazak dan perlu menguruskan banyak urusan di Malaysia yang terbengkalai akibat meninggalkan Malaysia dengan agak terburu-buru. Tahun kedua balik kerana adik perempuan kahwin. Hajatnya mahu stay strong tak mahu balik tapi memandangkan ini satu-satunya adik perempuan yang ada, akhirnya kami balik juga. Dan kali ini balik pula untuk kutip data yang memang tak boleh nak buat melainkan di Malaysia sahaja. Tak mengapalah duit pulang ke Malaysia tu memang sudah diperuntukkan dari wang gaji. Berjumpa ahli keluarga rasa tenang dan hilang stress selepas berbulan-bulan berada di dalam rumah. Kalau berjalan pun setakat pegi mall yang ada. Itu pun mujur kalau dapat balik tanpa membeli apa-apa..!

Duduk tempat orang yang duitnya jauh lebih besar dari duit kita kena belajar ikat nafsu (Alhamdulillah tak perlu ikat perut lagi sebab dah belajar ikat nafsu dulu). Yang akhir bulan selalu ikat perut tu kena belajar ikat nafsu dulu. Belajar berjimat dan kawal keinginan supaya tak perlu bising-bising kat orang duit tak cukup, makan megi hujung bulan. Padahal bila ada duit di tangan habis beli benda sana sini.

Jadi jangan ingat kami yang duk luar negara lagi-lagi belajar luar negara banyak sangat duit. Lainlah kalau kami kerja di luar negara itu memang tak dapat dinafikan.

Jangan duk ingat juga belajar PhD di luar negara lebih mudah dari dalam negara. Yang orang ingat dan nampak cepat je habiskan PhD sampai boleh habis on time. Dia tak tahu punyalah payah nak sesuaikan diri dengan kehidupan tempat orang, yang tak bercakap satu bahasa dengan kita, yang tak makan apa yang kita makan. Kadang-kadang sebab pernah merasa sakit hati duduk di tempat orang menjadikan kita kuat semangat untuk 'nyah' darinya secepat yang mungkin. Kihkoh. Perasaan rindukan Malaysia menjadikan kita tekad nak tamatkan semua secepat yang mungkin.

Lepas ni nak cadang sikit orang-orang yang merungut susahnya belajar (Terutama dalam negara) try belajar kat luar negara pula. Saya sudah merasa dalam dan luar negara. Cabaran di luar jauh lebih hebat berbanding zaman master dalam negara (Tak bandingkan dengan ijazah sebab dunia ijazah berbeza dgn postgrade 360 darjah). Dalam negara hanya melihat cabaran pada penulisan PhD dan birokrasi. Sedangkan berada di luar negara, cabarannya lebih dari itu. Sebuah tesis dari sebuah kehidupan setinggan. Itu yang saya boleh gambarkan bila habis PhD kelak. Doakan saya para pembaca.

Tadi jumpa musyrif, katanya draf fasol 1 dan 2 tertinggal di rumah lagi. Nak cakap macam mana lagi?

No comments:

Post a Comment

شكرا على تعليقاتك

Bila anak sulung mengemas...

Bersih..sayang anak ummi..anak sulung saya ni tidaklah selalu mengemas. Tapi bila dia mengemas memang puas hati.. alhamdulillah.. ...